Saturday, February 6, 2010

Kak Sarah..

"Kak Sarah, bila kita nak buat usrah?"

Saya terkedu. Butir-butir kata itu meluncur laju dari bibir anak usrah saya, Izzati (bukan nama sebenar) ketika kami berselisih tatkala melintasi pintu surau di Clinical Sciences Institute (CSI), University College Hospital, Galway. Ikhlas dia memandang saya menanti jawapan.
"Hmm... itu la plannya nak buat ahad ni. Korang ok tak?"

Saya menjawab penuh kekok sambil mengamati raut wajahnya. Risau andai reaksi terkejut pada diri berjaya dia sedari. Serentak fikiran saya menerawang memikirkan kerja yang tertangguh-tangguh bertimbun menanti disiapkan. Past years. Nota study group. Revision.  Keputusan peperiksaan yang tidak memberangsangkan.. dan bermacam lagi urusan duniawi yang tak mengenal erti noktah, tak mengenal erti berhenti.

Hati serba salah. Mahu dielak tidak mungkin. Mahu diiyakan, berat hati. 

Naluri tiba-tiba berbisik, "usrah itu tanggungjawab"

Apa wajarkah diri menolak peluang dakwah ke tepi kerana memberi laluan kepada tugasan lain yang berlonggok angkara silap sendiri mengurus waktu? Jika orang lain diuji dengan mad'u berdalih seribu satu alasan enggan ke usrah tetapi kini mad'u pula yang menawarkan diri, apa tegarkah diri pula yang menolak?
"Berangkatlah kamu baik dengan rasa ringan mahu pun dengan rasa berat. dan berjihadlah degan harta dan jiwamu di jalan Allah. Yang demikian itu adalah lebih baik bagimu jika kamu mengetahui."
(At-Taubah, 9:41)

Astaghfirullahaladzhim. Mengapa masih ada lintasan seperti itu di sanubari tatkala sudah mengaku diri sebagai dai'e, yang mencari redha Ilahi?

Ya Allah sungguh, ampunkan aku yang begitu mudah alpa. Dan terima kasih Tuhan kerana menganugerahi aku anak usrah yang sentiasa mahu menghadiri majlis ilmu, meskipun kuakui aku bukanlah insan terbaik sebagai naqibah mereka. InsyaAllah secebis ilmu yang ada sedia kukongsi kerana jika ditunggu diri sempurna dan bersedia sepenuhnya aku khuatir di masa itu aku mungkin tidak bernafas lagi.
"Sesungguhnya iman itu boleh lusuh seperti lusuhnya pakaian, maka hendaklah kamu memohon doa kepada Allah supaya diperbaharui keimanan itu di dalam jiwa kamu."
(HR Al-Hakim dan At Tabrani)

"Dan tetaplah memberi peringatan, kerana sesungguhnya peringatan itu bermanfaat bagi orang-orang yang beriman."
(Az-Zariyat, 51:55)


Sunday, January 3, 2010

Selamat Hari Lahir


Seperti biasa hari lahir saya jatuh pada musim sejuk di mana hampir semua sahabat yang dikenali bertebaran ke seluruh benua Eropah khususnya, mengisi peluang cuti yang sekian lama dinanti. Jika tahun lepas saya ke FUIYO [FUn with Iluvislam's Youth Overseas] di UK, tahun ini saya memilih untuk menghadiri PUISI [Perhimpunan Ukhuwwah Insaniyyah Seluruh Ireland] di Dublin yang bertemakan Kaizen sbg co-fasilitator. 

PUISI sendiri bermula pada tarikh hari lahir saya namun lantaran kesibukan masing2 berprogram, saya sendiri tidak begitu berpeluang berkongsi hari kelahiran saya ini dengan orang lain. Malah tidak sempat utk saya bersembang di telefon dengan adik di Malaysia, yang mana kami berkongsi tarikh hari lahir yang sama. Apa-apa pun jutaan terima kasih diucapkan kepada semua yang telah mengucapkan selamat hari lahir kepada saya sama ada secara lisan, mesej atau pun menerusi facebook. Bak kata orang putih 'It's the thought that matters' ;).

Sudah lama saya menunggu-nunggu untuk mencecah usia 23 tahun bersempena dengan hari bulan hari lahir saya sendiri iaitu 23 Disember. Entah mengapa saya begitu sukakan nombor itu tetapi tidaklah sehingga obses :P. Namun mendengarkan saja usia 23 tahun hati saya terdetik betapa diri ini sebenarnya bukan lagi kanak-kanak yang boleh bersukaria hidup untuk bergembira semata, sedangkan di luar sana ada sesuatu yang lebih penting untuk saya cari dan penuhi.

Jika tahun lepas saya sudah menyebut tentang kehebatan Hassan al-Banna meninggalkan pelbagai jasa buat umat bermula usia semuda 22 tahun, kali ini saya ingin membawa Sultan Muhammad al-Fateh pula ke dalam perhatian kita. Secara umumnya video-video yang memaparkan perjuangan Sultan Muhammad al-Fateh merealisasikan hadis Rasulullah s.a.w. dalam menawan Constantinople tidak pernah gagal dalam menyebabkan bulu roma saya meremang mengenangkan kesungguhan baginda. Sungguh saya kagum dengannya dan betapa rendahnya diri ini yang tidak seberapa jasa ditinggalkan untuk Islam (setakat ini).

Sabda Rasulullah s.a.w ketika menggali parit semasa Perang Khandak;
"Constantinople (kini Istanbul) akan jatuh ke tangan tentera Islam. Rajanya adalah sebaik-baik raja, tenteranya adalah sebaik-baik tentera.."
[Hadis Riwayat Imam Ahmad]





Siapa tidak mahu jadi sebaik-baik manusia? Tetapi kalau mahu, apa usahanya?

Ingin saya kongsikan di sini kisah ketika kali pertama solat Jumaat hendak ditunaikan di kalangan tentera Sultan Muhammad al-Fateh di mana timbul pertanyaan siapa yang layak menjadi imam. Baginda memerintahkan semua tenteranya termasuk dirinya bangun seraya bertanya, "Siapa di antara kita sejak baligh hingga sekarang pernah meninggalkan solat fardhu biarpun sekali, sila duduk!". Tidak ada seorang pun yang duduk, kerana tidak seorang pun di antara mereka pernah meninggalkan solat fardhu.

Baginda bertanya lagi, "Siapa di antara kita yang sejak baligh hingga kini pernah meninggalkan solat sunat rawatib sila duduk!". Sebahagian daripada tenteranya duduk. Kemudian baginda bertanya lagi, "Siapa di antara kita sejak baligh sehingga ke saat ini tidak pernah meninggalkan solat tahajud biarpun satu malam, sila duduk!"

Kali ini semuanya duduk kecuali Sultan Muhammad al-Fateh sendiri. Bagindalah sebaik-baik raja yang telah diisyaratkan oleh Rasulullah s.a.w d dalam hadisnya itu. 

Sunnatullah dan syariatullah, kedua-duanya bergerak seiring. 

Justeru marilah bersama kita berusaha untuk menjadikan diri kita signifikan pada pandangan Allah s.w.t, insyaAllah.

Salam Maal Hijrah dan Selamat Hari Lahir, Sarah (dan Aida).








Monday, December 21, 2009

Kartun Comel!


Terjumpa perkongsian sahabat di iLuvislam semasa melayari website berkenaan, sangat comel!



Tajuk: See U di Rumah..hehe....




Bibit seorg yg kacak dn handsome..
tp syg nye die sombong dgn anugerah yg Allah kasi..




Ramai gadis terpaut hati dgnnye tp die jual mahal..
sbb die suke sorg gadis bernama Nini..


Mcm mcm cara bibit gune utk rebut hati Nini..



bg bunge..



main gitar la [walaupon x sdp..]




smpai main mcm badut..



tp x dilayan juga oleh Nini...



Bibit x putus asa..
tak kira..
nak jugak Niniiiiii...


Hinggalah suatu hari nini berkata..




Hari tu sye pegi usrah..
lps usrah tu sye tergerak hati nk jumpe awak sbb sye tau awak
ske kat sye...
kakak usrah sye ckp x elok bercinta waktu sekolah..
jd jgn bercinta ok..
besar nnti kite jumpe lg..



bibit tercengang...



Nini pon berlari dn tidak ditemui selepas itu..








Bibit berasa amat sedih selepas Nini tiada..




Suatu hari die terfikir akan apa yg Nini ckp pdnya..








Die mula menanam cita2 dan berusaha bersungguh sungguh utk berjaya...




Kini,,
die tersenyum gembira...




Kerana berjaya mencapai cita-cita sbg guru...




Die juge tersnyum apabila melihat isteri kesayangannya, NINI...




Dan anak perempuannya, MIMI...



'Kakak usrah sye ckp x elok bercinta waktu sekolah..
jd jgn bercinta ok..
besar nnti kite jumpe lg..'


terngiang ngiang di ke kepala otak Bibit
akan kata2 isterinya...



THE END...

Sunday, November 29, 2009

Salam Aidiladha

Bismillahirrahmanirrahim,

Ketibaan Aidiladha mengingatkan kita kepada kata-kata Saidina Umar al-Khattab yang mengungkapkan bahawa;

"Sesungguhnya al-Quran diturunkan pada bulan Ramadan, lalu ia disambut dengan Aidilfitri. Manakala hari penurunan terakhir al-Quran pula, ialah pada bulan Zulhijjah, ketika Rasulullah s.a.w menunaikan ibadah haji yang terakhir (haji wada'), maka ia disambut dengan Aidiladha."


Ungkapan ini memberi maksud bahawa Aidiladha merupakan suatu perayaan yang agung dalam Islam. Menyambut Aidiladha, bukan sekadar dengan mengorbankan binatang ternakan. Malah sebenarnya Aidiladha adalah sambutan merayakan kesyumulan Islam sebagaimana firman Allah yang dibacakan oleh Rasulullah s.a.w, mafhumnya:

"Hari ini Aku sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan Aku cukupkan nikmat-Ku ke atas kamu, dan aku hanya reda dengan Islam sahaja satu-satunya agama kamu."
(Surah al-Maidah, ayat 3)


Apabila umat Islam diajak menyambut Aidiladha sebagai hari kesyumulan Islam, maka umat Islam mestilah memahami maksud sebenar ayat yang diungkapkan pada haji wada' itu, bahawa hanya Islam satu-satunya cara hidup yang lengkap dan sempurna.

Cara hidup yang lengkap dan sempurna bermaksud, Islam yang diimani ini, mestilah dihayati dan diamalkan dalam segenap aspek kehidupan, mencakupi akidah, syariat, politik, ekonomi, pendidikan, kemasyarakatan, perundangan, akhlak dan sebagainya. Islam yang kita anuti ini, bukanlah hanya sekadar ibadah ritual sahaja, ia mestilah dijelmakan kefahamannya dalam semua aspek yang dinyatakan di atas.

Apabila kita menerima Islam, kita mestilah menerima dengan sepenuhnya. Kita mesti menjalankan ekonomi secara Islam, mengikut cara Islam tatkala kita berurusan, beramal dengan undang-undang Islam, mendidik masyarakat dengan ilmu dan nilai Islam serta menyuburkan Islam dalam semua aspek kehidupan. Maka dengan mengamalkan ajaran Islam secara syumul itu, kita semua akan selamat.

Di setiap Aidiladha, kita disyariatkan untuk mengungkapkan kalimah tauhid, empat hari empat malam, bermula pada waktu maghrib 9 Zulhijjah sehingga pada asar 13 Zulhijjah. Antara perisytiharan dalam kalimah tauhid yang diungkapkan pada lafaz takbir ialah (mafhumnya):

"Tidak ada tuhan yang disembah melainkan Allah dan kami sama sekali tidak akan mengabdikan diri melainkan hanya kepada-Nya, dengan ketaatan setulus hati (mukhlisin), walaupun dibenci oleh orang-orang kafir."


Kalimah tauhid ini membawa erti yang cukup besar, iaitu dengan jelas berulang-ulang kali kita menyatakan bahawa ketaatan kita, hanya kepada Tuhan Yang Esa. Ketaatan dengan mengamalkan apa yang disuruh-Nya dan meninggalkan apa yang dilarang-Nya. Ketaatan membawa maksud mematuhi segala tuntutan Allah di dalam al-Quran dengan mendaulatkan seluruh sistem hidup melalui syariat-Nya.

Justeru bersempena Aidiladha ini, kita tidak hanya menghayati ibadah korban, hanya dengan menceritakan kisah pengorbanan Nabi Ibrahim a.s dan anaknya Nabi Ismail a.s, sekadar menyembelih binatang ternakan.

Tetapi kita mesti menghayati semangat atau roh pengorbanan Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail, dengan mengetepikan seluruh kepentingan duniawi serta mengetepikan kepentingan diri dan keluarga, demi untuk mematuhi arahan Allah.

Maka dengan ini, marilah sama-sama kita menjelmakan semangat korban ini dengan mencontohi perjuangan para Anbiya, mengetepikan segala kepentingan, sanggup bersusah payah, demi menegakkan kalimah tauhid yang suci.

Allahu Akbar! Allahu Akbar! Allahu Akbar! Walillahilhamd.





P/s: Selamat Hari Raya Aidiladha daripada PPIMG '09-'10 ;)


Olahan sumber

Sunday, November 15, 2009

Post GE '09

video


Bismillahirrahmanirrahim dan assalamualaikum wbt,

Alhamdulillah berakhir sudah Galway Excursion 2009 yang diadakan pada 14 dan 15 November 2009 bertempat di The Burren Sleepzone, Lisdoonvarna, Co. Clare. Terasa seperti baru semalam saya menerima pertanyaan drp presiden PPIMG kira2 2 bulan lepas, "Kak, kita jadi ke nak buat MINDA ke tahun ni, ke buat tahun depan?". Kemudian dari sekadar tertulis di dalam takwim perancangan aktiviti PPIMG, GE akhirnya berjaya direalisasikan dalam bentuknya yang sebenar.

Seperti mana yang telah saya sebut dalam 'ucapan penutup' GE sebentar tadi, setinggi2 syukur saya panjatkan ke hadrat Ilahi kerana hanya dengan izin dan rahmatNyalah dap
at kita lihat GE sebagaimana GE yang telah kita rancang. Sekadar perkongsian sebelum ini berulang kali telah saya Google ramalan cuaca untuk Lisdoonvarna namun hasilnya cukup membimbangkan. Pelbagai website telah saya lawati tetapi semuanya menjangkakan hujan akan turun sepanjang 2 hari kita di situ. Walau bagaimanapun benar sungguh kudrat manusia itu terbatas. Ilmu apa jua yang kita aplikasikan dalam meramal cuaca tidak mampu menjangkaui kuasa Sang Penguasa Alam Pemilik Semesta. Lalu bagaikan suatu keajaiban berjaya kita sama2 bertebaran dalam LDK masing2 bergerak memburu kanak2 comel, serangga dan biri2 di bawah terik matahari serta menikmati ayam BBQ hasil tangan sendiri dalam keadaan cuaca yang 'luar biasa' bagi Ireland.

Tema 'Back to the Nature' yang cuba disampaikan dalam GE membawa dwimaksud; alam dan fitrah. Jika definisi nature sebagai 'alam' telah diterjemahkan dengan jelajah kita merentasi Co. Clare hingga ke pantai surfing Lehinch, 'fitrah' pula membawa kita kembali kepada siapa kita dalam konteks individu muslim di muka bumi ini.

'Who Am I' mengajak kita sama2 merenung kembali misi pen
ciptaan kita di muka bumi ini. Mungkinkah sekadar untuk makan, tidur dan mandi? Jika benar justeru apa beza kita dengan ciptaanNya yang lain sebagai contoh burung2 di awanan? Jika kita tambah dengan belajar dan membelek buku sebagaimana tuntutan kita sebagai pelajar perubatan, justeru apa beza kita dengan sahabat Irish yang kita kenali?

Sungguh, penciptaan kita bukan sekadar untuk itu.
"Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk beribadah kepadaKu"
[Az-Zariyat, 51-56]

Menerusi slot spiritual ini Ustaz Burhan Che Daud telah menjelaskan dengan panjang lebar tentang tujuan penciptaan kita, yang mana telah dirumuskan oleh beliau sebagai untuk Ibadah, Amanah dan Khilafah. Kita sebagai 'abid perlu sedar tentang tanggungjawab kita kepada agama ini. Indahnya Islam kerana setiap aspek kehidupan kita diberikan panduan khusus atau 'manual' untuk kita ikuti bagi memelihara kita daripada melakukan sesuatu yang merosakkan diri, yakni menerusi ibadah. Amanah diterjemah melalui ikhlasnya kita dalam beribadah sebagaimana "sesungguhnya solat itu mencegah diri dari perbuatan keji dan mungkar". Manakala khilafah pula memberi erti kita sebagai penguasa terpilih di muka bumi ini wajar memakmurkan dunia dengan kesempurnaan Islam, mengurus dan mentadbir mengikut lunas2 Islam serta menguatkuasakan hukum2 Allah.


Slot sosial bertajuk 'You and I' pula mengupas tentang tanggungjawab kita dalam hidup bermasyarakat serta cara kita berurusan dan berperanan dgn efektif tanpa mengetepikan garis panduan agama. Yang saya kira menarik dalam penyampaian Ustaz Borhan ialah interpretasi beliau terhadap tajuk yang diberikan. Kita hidup bermasyarakat bukan hanya ada "I" tetapi kita juga ada "You" di sekeliling kita untuk kita saling ambil berat dan ambil tahu. Mahu atau tidak kita akan banyak berurusan dengan orang ramai [apatah lagi sbg doktor] dan adalah penting untuk kita mengenalpasti cara terbaik untuk melaksanakannya mengikut landasan Islam dgn harapan agar kita terpelihara daripada celaan Allah malah mendapat ganjaran drpNya memandangkan ia juga sebenarnya adalah sebuah ibadah jika dilakukan dengan sewajarnya.

Penyampaian Dr Fendi sbg SPR Gastroenterology and Internal Medicine [Locum Consultant] dalam bahasa Inggeris menerusi slot akademik juga cukup membuka mata [literally and figuratively :)]. Pelbagai teknik dan rahsia pembelajaran berkesan telah dikongsikannya dalam membentuk diri menjadi bukan sekadar seorang pelajar cemerlang akademik yang sehari-harian bergelumang dengan buku tetapi untuk membentuk seorang pelajar yang akan muncul sebagai seorang doktor y
ang berkualiti yg tahu berperanan dan bergaul dengan masyarakat. Sejujurnya banyak nasihat dan teguran yang beliau sampaikan sebenarnya menjurus masuk ke dalam diri saya sendiri yang mana banyak aspek yang perlu diperbaiki dalam menyeimbangkan semua cabang kehidupan.

Di sini suka saya kongsikan ayat 77 drp Surah Al-Qasas yg membawa maksud;
"Dan carilah [pahala] negeri akhirat dengan apa yang telah dianugerahkan Allah kepadamu, tetapi janganlah kamu lupakan bahagianmu di dunia..."

Sungguh Islam tidak pernah menyuruh umatnya meninggalkan terus kehidupan dunia bahkan Islam menggalakkan kita mencari ilmu dan rezeki sebagaimana 'kefakiran membawa kepada kekufuran'. Justeru wajar kita sanggah dakwaan sempit Islam sebagai semata-mata sebuah agama spiritual kerana dalam konteks sebenar Islam mencakupi semua aspek kehidupan de
ngan sifatnya yang syumul. Justeru wajar kita raikan kesyumulan Islam dengan cara mengambil Islam dengan sepenuhnya tanpa meninggalkan aspek tertentu yang kita sendiri fikir tidak relevan. Bahkan belajar untuk menjadi doktor boleh menjadi ibadah jika niat dan caranya betul malah kita berhasrat untuk berkhidmat dengan membawa izzah Islam, bukankah ini serampang dua mata yang mungkin segelintir telah terlepas pandang?

BBQ

Selain pengisian daripada penyampai2 yang bersemangat yang amat berguna buat kami, GE turut meraikan hari jadi bayi2 bulan November dengan kek2 hasil usaha chef hebat yang dibawa khas untuk GE kali ini, Kak Sabrina dan ibu beliau. Manakala ketika para muslimin membuat keputusan untuk beriadah pagi 'di atas katil' sahaja muslimat pula menggunakan peluang yang ada dengan beraerobik, menari poco2 dan chicken dance ;). Tetamu khas dari MSD turut hadir dan menyampaikan amanat dan sokongan beliau terhadap program PPIMG serta menceritakan sedikit berkaitan MSD Eire.

Kami juga seluruh peserta GE bersama-sama menyanyikan lagu tema program kali ini iaitu Sebiru Hari Ini dari semasa ke semasa. Anugerah peserta paling attentif diperoleh akhi Naim drp muslimin dan ukhti Rohani drp muslimat manakala pertandingan capture the nature dalam 'It's a Wonderful World' dimonopoli sepenuhnya oleh kaum muslimat dengan kejuaraan berpihak kepada kumpulan Kak Diyana Ishak.

Akhir kata syabas diucapkan kepada semua yang telah melibatkan diri dalam GE baik sebagai tulang belakang program mahupun sebagai peserta kerana tanpa anda semua tidak lengkaplah Galway Excursion 2009. Penghargaan khas ditujukan buat seluruh ahli belakang tabir GE yang telah memberikan kerjasama yang tidak berbelah bagi kepada saya dan yang lain2. Buat semua sekalung kemaafan dipohon atas segala kesilapan dan kekurangan sepanjang GE berlangsung. Sama2 kita amal dan kongsikan apa yang kita peroleh dengan sahabat2 kita yang tidak dapat hadir insyaAllah. Dengan ini berlabuh sudah tirai Galway Excursion 2009, alhamdulillah.

Jzkk.

SMCMN
Pengarah Galway Excursion 2009.
[Pengarah bersama; saudara Ameen]

Thursday, October 15, 2009

Dijamin Halal ;)

Terjumpa satu resepi ni yang saya tak ada pengalaman membuatnya. Malah tak pernah merasa atau memasak apa2 yg seangkatan dengannya justeru tak mampu utk memberi testimonial :). Bukanlah resepi yang sempurna tp rasa ianya menarik lalu ingin diletakkan di sini.
Selamat mencuba! :)

[Maaf bahasanya bahasa Indonesia]


KUE PERKAWINAN

Bahan :
1 pria sehat,
1 wanita sehat,
100% Komitmen,
2 pasang restu orang tua,
1 botol kasih sayang murni.
1 cawan penuh niat yang suci

Bumbu:
1 balok besar humor,
25 gr rekreasi,
1 bungkus doa,
2 sendok teh telpon-telponan,
5 kali ibadah/hari tapi lebih baik jika lebih dari itu (sebaiknya ibadah jenama BERJEMAAH)
(Semuanya diaduk hingga merata dan mengembang).

Tips:
1. Pilih pria dan wanita yang benar-benar matang dan seimbang. Sebaiknya buat pilihan di pasaraya ISTIKHARAH & ISTISYARAH.
2. Jangan yang satu terlalu tua dan yang lainnya terlalu muda karena dapat mempengaruhi kelezatan kue (sebaiknya dibeli di toserba bernama TEMPAT IBADAH, walaupun agak jual mahal tapi mutunya terjamin.)
3. Jangan beli di pasar yang bernama DISKOTIK atau PARTY karena walaupun modelnya bagus dan harum baunya tapi kadang menipu konsumen atau kadang menggunakan zat pewarna yang bisa merusak kesehatan.
4. Gunakan Kasih sayang cap DAKWAH yang telah mendapatkan penghargaan ISO dari Departemen Kesehatan dan Kerohanian.


Cara Memasak:
1. Pria dan Wanita dicuci bersih, buang semua masa lalunya sehingga tersisa niat yang murni.
2. Siapkan loyang yang telah diolesi dengan komitmen dan restu orang tua secara merata.
3. Masukkan niat yang murni yang telah dicampur dengan kasih sayang yang suci kedalam loyang dan panggang dengan api merata sekitar 30 menit didepan penghulu.
4. Biarkan di dalam loyang tadi dan sirami dengan bumbunya.
5. Kue siap dinikmati.

Catatan:
Sebaiknya kue akan lebih kental dan tidak mudah hancur jika menggunakan loyang JEMAAH karena kualitas materinya yang kukuh dan tidak mudah berkarat.
Kue ini dapat dinikmati oleh pembuatnya seumur hidup dan paling enak dinikmati dalam keadaan hangat.
Tapi kalau sudah agak dingin, tambahkan lagi humor segar secukupnya, rekreasi sesuai selera, serta beberapa potong doa kemudian dihangatkan lagi di oven ber merek "Tempat Ibadah". Setelah mulai hangat, jangan lupa telepon-teleponan bila berjauhan.

Selamat mencoba, dijamin semuanya halal koq!

“Ya Allah, kurniakan kepada kami isteri-isteri dan zuriat kami sebagai penyejuk mata. Dan jadikan kami pemimpin bagi orang-orang bertaqwa”
(Al-Furqan:74)

* Selamat pengantin baru kepada semua yang baru mendirikan rumah tangga- tak tersebut ramainya, alhamdulillah.
* Kepada yang belum, semoga diberikan kesudahan terbaik buat kita insyaAllah :)


Wednesday, August 5, 2009

Nisfu Sya'aban


Nisfu dlm bahasa arab beerti setengah. Nisfu Syaaban beerti setengah bulan Syaaban. Malam Nisfu Syaaban adalah malam lima-belas Syaaban iaitu siangnya empat-belas haribulan Syaaban.

Malam Nisfu Syaaban merupakan malam yang penuh berkat dan rahmat selepas malam Lailatul Qadr. Saiyidatina Aisyah r.a. meriwayatkan bahawa Nabi saw tidak tidur pada malam itu sebagaimana yang tersebut dalam sebuah hadis yg diriwayatkan oleh Iman Al-Baihaqi r.a:

Rasulullah saw telah bangun pada malam (Nisfu Syaaban) dan bersembahyang dah sungguh lama sujudnya sehingga aku fikir beliau telah wafat. Apabila aku melihat demikian aku mencuit ibu jari kaki Baginda saw dan bergerak. Kemudian aku kembali dan aku dengar Baginda saw berkata dlm sujudnya, "Ya Allah aku pohonkan kemaafanMu daripada apa yg akan diturunkan dan aku pohonkan keredhaanMu daripada kemurkaanMu dan aku berlindung kpdMu daripadaMu. Aku tidak dpt menghitung pujian terhadapMu seperti kamu memuji diriMu sendiri."

Setelah Baginda saw selesai sembahyang, Baginda berkata kpd Saiyidatina Aisyah r.a. "Malam ini adalan malam Nisfu syaaban. Sesunguhnya Allah Azzawajjal telah dtg kpd hambanya pada malam Nisfu syaaban dan memberi keampunan kpd mereka yg beristighfar, memberi rahmat ke atas mereka yg memberi rahmat dan melambatkan rahmat dan keampunan terhadap org2 yg dengki."

Hari nisfu sya'aban adalah hari dimana buku catatan amalan kita selama setahun diangkat ke langit dan diganti dengan buku catatan yang baru. Catatan pertama yang akan dicatatkan dibuku yang baru akan bermula sebaik sahaja masuk waktu maghrib, (15 Sya'aban bermula pada 14 hb Sya'aban sebaik sahaja masuk maghrib).

Berikut adalah antara amal ibadah yang boleh kita lakukan di hari Nisfu Sya'aban:

1. Solat sunat nisfu sya'aban

2. Membaca Yasin 3x selepas solat Maghribnya

i) Yasin pertama : mohon dipanjangkan umur untuk beribadat kepada Allah

ii) Yasin kedua : mohon rezeki yang halal untuk beribadat kepada Allah

iii) Yasin ketiga : mohon ditetapkan iman dan Islam & mati di dalam iman

3. Berpuasa pada siangnya (mulai pagi esoknya-15 Syaaban).


Disusun dengan bantuan Ustaz Abdul Kareem As-Saquofi

Arkib dari Risalah Surau Malabar Hidayatul Islam


Walau bagaimana pun perlu ditekankan di sini bahawa adalah lebih baik jika dilakukan amal ibadah ini secara istiqamah, bukan sekadar banyak beribadat pada hari-hari tertentu tetapi mengambil mudah ibadat-ibadat fardu pada hari-hari yang lain.

Semoga kita dapat bersama-sama meraih seberapa banyak pahala daripada amal ibadah buat bekalan di akhirat kelak insyaAllah.

Wallahu'alam.

Sumber


Lajnah Tarbiyah dan Dakwah
PPIMG